Paparan

SPONSORED

Friday, October 18, 2013

Kerajaan Amerika Kembali Beroperasi

Rancangan akhir halang krisis, lanjut pinjaman Perbendaharaan



Kerajaan Amerika syarikat beroperasi semula semalam, selepas dihentikan selama dua minggu ketika kebimbangan memuncak perbendaharaan negara itu mungkin kehabisan wang untuk membayar hutangnya.

Kongres meluluskan dan Presiden Barack Obama menandatangani rang undang-undang bagi melanjutkan pinjaman dan mengakhiri penutupan operasi kerajaan.


Rancangan akhir itu akan menghalang krisis paling teruk dengan melanjutkan kuasa pinjaman Perbendaharaan Amerika sehingga 7 Februari ini. Ahli perundangan juga mencapai persetujuan mengenai dana kerajaan sehingga 15 Januari.

Obama menandatangani rang undang-undang itu pada awal pagi semalam, sejurus selepas Kongres memberi ‘lampu hijau’.


Namun, di tengah kelegaan, masih wujud jurang perbezaan pendapat yang besar di Kongres sehingga menyebabkan pertelagahan membabitkan bajet sejak kebelakangan ini.



Malah, perbelanjaan dan hutang cuma bertahan sehingga awal tahun depan, dengan ramalan bahawa lebih banyak konfrontasi bakal berlaku.

Usaha itu walaupun sementara disambut baik.

“Kita sudah kembali beroperasi. Muzium Smithsonian akan mula dibuka Khamis ini dan Zoo Negara pula dibuka semula Jumaat,” kata Smithsonian dalam Twitter.

Pengarah Pejabat Pengurusan dan Bajet, Sylvia Mathews Burwell, berkata beratus ribu pekerja diarahkan membuka semula pejabat dengan segera.

Malah sebelum perbalahan mencapai kemuncaknya dengan undian muktamad Dewan Perwakilan, Obama memberi amaran Washington tidak boleh ditadbir dengan krisis.


Sumber: Berita Harian




Thursday, October 17, 2013

Hershey pilih Malaysia jadi hab eksport

Pengeluar coklat terbesar labur RM816j bangunkan kilang di Johor.



KEDUDUKAN strategik Malaysia terus menjadi perhatian syarikat global dengan yang terbaru, pengeluar coklat terbesar Amerika Utara, The Hershey Company memilih negara ini sebagai hab eksportnya ke pasaran serantau.

Malaysia juga menjadi pilihan berikutan aksesnya kepada separuh penduduk dunia di samping mempunyai tenaga kerja berpengetahuan yang diperlukan oleh Hershey untuk terus berkembang.

Hershey mengumumkan akan melabur sehingga AS$250 juta (RM816 juta) untuk membangunkan kilang pengeluaran di Zon Dagangan Bebas Senai, Johor.

Ia adalah pelaburan terbesar Hershey di Asia sejak ia menembusi pasaran rantau ini kira-kira 18 tahun lalu.

Kemudahan pengeluaran canggih yang akan mula dibina bulan ini, bakal menjadi menjadi kilang kedua terbesar dalam rangkaian pengeluaran global syarikat itu.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Noharuddin Nordin, semasa mengumumkan rancangan pelaburan Hershey di Malaysia berkata, kemudahan pengeluaran itu dijangka mula beroperasi pada akhir 2015.
“Ini satu penghormatan bagi negara kerana Hershey telah memilih Malaysia sebagai tapak kilang pembuatannya. Pelaburan ini menjadi bukti Malaysia tetap mempunyai daya tarikan untuk syarikat multinasional datang membuat pelaburan di rantau ini.

“Tanpa diragui lagi, projek ini akan membawa manfaat ekonomi yang positif ke Malaysia dari segi peluang pekerjaan dan perniagaan bagi pembekal tempatan,” katanya pada taklimat media yang diadakan bersama pengurusan kanan Hershey itu.

The Hershey Company beribu pejabat di Hershey, Pennsylvania di Amerika Syarikat (AS) memiliki operasi di seluruh dunia dan disokong kira-kira 14,000 kakitangan sejak ditubuhkan lebih 100 tahun lalu.

Dengan hasil jualannya yang mencecah AS$6.6 bilion (RM21 bilion), syarikat itu menawarkan rangkaian produk konfeksi di bawah 80 jenama termasuk beberapa jenama terkemukanya seperti Hershey’s Reese’s, Hershey’s Kisses, Hershey’s Special Dark, Twizzlers, Jolly Rancher dan Ice Breakers.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Asia, Eropah, Asia Barat dan Afrika Hershey, Peter F Smit, berkata kilang pengeluaran di Johor itu akan mengeluarkan empat daripada lima jenama utama global Hershey yang terdiri daripada Hershey’s Kisses, Ice Breakers, Reese’s dan Hershey’s Milk Chocolate.

Katanya, kemudahan baru itu adalah sebahagian daripada rancangan memperluaskan pengedaran global bagi jenama berkenaan yang bertepatan dengan visi pertumbuhan antarabangsanya bagi mencapai jualan AS$10 bilion menjelang 2017.

“Rancangan pertumbuhan global Hershey, antara lain ialah memberi tumpuan kepada pasaran antarabangsa utama seperti China di samping mengembangkan portfolio produk pengguna di seluruh dunia,” katanya.

Beliau menegaskan, kira-kira 90 peratus output daripada kilang di Johor itu adalah bagi dieksport sehingga antara 25 ke 35 pasaran seluruh Asia dan ia sekali gus memberi manfaat langsung kepada negara ini.

“Syarikat membuat pelaburan besar di rantau ini memandangkan golongan kelas pertengahan semakin bertambah dan permintaan pengguna terhadap coklat serta produk konfeksi baru juga meningkat,” katanya.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Rantaian Bekalan Hershey, Terence O’Day pula berkata kehadiran syarikat di negara ini akan mewujudkan kira-kira 400 peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan.

“Malah, apabila kilang mula beroperasi pada potensi sepenuhnya, terdapat lebih banyak pekerjaan akan diwujudkan,” katanya.

Buat masa ini, katanya operasi di luar AS menyumbang sekitar 10 peratus atau antara AS$650 juta hingga AS$700 juta daripada AS$6.6 bilion pendapatannya.


Sumbangan itu, kata O’Day dijangka meningkat kepada 30 peratus menjelang 2018 berikutan peningkatan permintaan pengguna, terutama di Asia.

Sumber: BERITA HARIAN

SPONSORED