Paparan

SPONSORED

Wednesday, August 27, 2014

Derma Darah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Pernahkah anda menderma darah dan pernahkah anda terfikir mengapa banyak kempen atau rayuan untuk menderma darah?

Pusat Darah Negara dan tabung darah di hospital seluruh negara sering berdepan dengan stok darah yang kritikal. Pada masa tertentu, bekalan darah dikatakan tidak mencukupi kerana penderma darah kurang gagal menampung keperluan semasa. 

Menderma darah adalah satu amalan sukarela yang terpuji dan tidak ternilai sumbangannya. Keinginan untuk menderma darah perlu wujud dalam diri setiap individu sebagai satu tanggungjawab membantu sesama manusia.

Islam menggalakkan amalan tolong-menolong, terutama dalam soal yang penting ini. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat dua bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu di atas kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan di atas dosa dan penindasan.”


Secara peribadi, saya pernah menderma darah sebanyak 2 kali. Yang pertama pada tahun 2009 di PLKN dan tahun lepas. 

Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB. Darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya. Kumpulan darah O boleh menerima darah daripada kumpulan darah O saja. Bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima. Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah. Begitulah uniknya darah.


Menderma darah bukan saja tidak membahayakan diri penderma, bahkan dianggap satu amalan menjaga kesihatan. Sebelum bakal penderma darah menderma darah, tahap kesihatannya perlu diperiksa terlebih dulu bagi memastikan tidak ada kesan buruk terhadapnya selepas menderma darah.

Proses menderma darah amat mudah dan mengambil masa singkat. Kalau ramai orang nak menderma darah seperti dalam aktiviti kempen derma darah, kena lah tunggu giliran.  Penderma darah tidak mengalami rasa sakit ‘keterlaluan’ sepanjang proses menderma darah. Kalau perempuan pun boleh derma darah, kenapa lelaki perlu takut?

Setiap orang boleh menderma darah setiap tiga atau empat bulan sekali untuk proses pendermaan cara biasa. Bagaimanapun, jika melalui kaedah Aferesis, yakni proses mengeluarkan plasma dan platelet dan kemudian mengembalikan semula sel darah merah kepada penderma dengan menggunakan mesin khas, penderma boleh melakukan lebih kerap berbanding cara biasa.

Darah yang diderma boleh disimpan selama 42 hari dalam peti dingin beku sebelum diberikan kepada golongan yang memerlukan.
Darah yang diderma dibahagi mengikut komponennya iaitu sel darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, Faktor VIII dan IX - semuanya ada kegunaan tersendiri.

Sel darah merah digunakan untuk merawat pesakit talassemia, leukemia, orang yang kehilangan darah (mangsa kemalangan, kebakaran, pembedahan) dan kekurangan darah (anemia). Manakala produk darah seperti plasma beku segar dan Faktor VIII serta IX untuk pesakit haemofilia.”


Menderma darah memberi kebaikan kepada orang lain. Antaranya:

1) Boleh menyelamatkan nyawa orang. 
Bagi orang-orang yang berisiko tinggi kehilangan darah seperti akibat kemalangan dan juga ibu yang melahirkan anak, darah yang didermakan adalah sangat penting. Dalam keadaan kecemasan seperti itu, mereka sangat memerlukan darah yang banyak dalam kadar yang segera. Sudah tentu pada saat kecemasan itu, jika tiada bekalan darah yang didermakan, proses ini akan menyulitkan lagi keadaan pesakit.

Setiap hari ada sahaja berita kemalangan jalan raya. Kemalangan yang tidak dilaporkan dalam berita semestinya jauh lebih banyak. Mereka menghadapi kehilangan banyak darah dan mereka memerlukan bantuan darah untuk menggantikan darah yang hilang.

2) Boleh membantu seseorang dengan penyakit yang berkaitan             dengan darah.
Derma darah juga penting dalam membantu pesakit yang menghidap penyakit yang berkaitan dengan darah. Antara penyakit yang berkaitan dengan darah adalah hemofilia, anemia dan talasemia yang berkaitan dengn sel darah merah. Manakala penyakit kegagalan sumsum tulang dan leukimia pula adalah penyakit yang berkaitan dengan platlet.

Mereka ini sangat memerlukan darah bagi menjalani kehidupan biasa seperti kita. Tanpa bekalan darah yang berterusan, maka perkara ini boleh mengundang maut kepada pesakit. Justeru itu, darah yang diderma adalah sangat penting.


Bekalan darah perlu ditambah sepanjang masa. Darah tidak terdapat di pasaraya yang mudah dibeli. 

Satu unit darah (antara 300 hingga 450 mililiter) dapat menyelamatkan nyawa mangsa demam denggi, kemalangan (yang kehilangan banyak darah), ibu yang tumpah darah ketika bersalin, pesakit talassemia, anemia, leukemia dan haemofilia, mangsa kebakaran serta bayi yang perlu menjalani pertukaran darah.

Untuk penderma darah, apakah manfaat yang mereka perolehi?

1) Menderma darah akan mengurangkan paras zat besi di dalam darah. Zat besi adalah oksidan yang akan meningkatkan radikal bebas di dalam tubuh. Setiap kali anda menderma darah, anda akan mengeluarkan sebahagian daripada zat besi dari badan. Ada kajian menunjukkan zat besi berlebihan akan mempercepatkan pengoksidanan (oksidasi) kolesterol, satu proses yang dianggap boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan akhirnya mengakibatkan penyakit kardiovaskular (serangan jantung dan strok).


2. Pendermaan darah boleh merangsang badan menghasilkan lebih banyak darah baru. Secara tidak langsung ia akan meningkatkan taraf kesihatan penderma kerana sel darah baru mempunyai keupayaan membawa oksigen yang jauh lebih baik berbanding sel lama.Ini menyebabkan ramai yang menderma darah akan berasa lebih segar dan sihat selepas menderma darah.

3. Selain itu secara psikologi, penderma darah sebenarnya berasa lebih tenang kerana mempunyai tahap kesihatan yang baik. Ujian darah akan dilakukan ke atas semua penderma setiap kali mereka menderma darah; walaupun mereka adalah penderma tetap. Ini adalah langkah untuk memastikan semua darah diderma adalah selamat dan tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan penerima.

4.Tidak perlu bimbang kemungkinan masalah kekurangan darah kerana ia tidak akan berlaku. Setiap hari badan kita akan menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel yang mati akibat ´tua.

5.Isu keselamatan seperti kemungkinan mendapat penyakit berjangkit juga tidak timbul kerana proses pengambilan darah adalah selamat dan dilakukan dengan berhati-hati. Banyak langkah keselamatan diambil untuk kebaikan anda dan bakal penerima darah. Semua peralatan seperti jarum baru, bersih dan steril akan digunakan bagi setiap penderma dan jarum yang sudah digunakan akan dibuang. Jadi tiada kemungkinan jarum ini terkena penderma lain.






Kad Raya Daripada VIP

Assalamualaikum

Hari ini 1 Zulkaedah 1435 Hijrah, maka bulan Syawal sudahlah habis. No more raya, lepas ini Raya Haji pula.

Entri kali ini berkenaan dengan kad raya yang saya dapat daripada VIP. Syawal dah habis, tapi baru nak update pasal raya kan. Kerepek raya pun belum habis lagi tu haha..

Untuk dua kali berturut-turut, saya dapat kad Raya daripada orang nombor satu negeri Johor. Siapa? Bukan Tuanku Sultan, ini daripada YAB Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Nordin. Beliau 
merupakan Menteri Besar Johor menggantikan Dato' Haji Abdul Ghani bin Othman selepas Pilihan Raya Umum ke 13. Blog saya tidak bertujuan untuk menceritakan politik.


Yang ini kad Raya tahun lepas, 2013.



Tak sangka tahun ini masih dapat lagi. Yang ni tahun ni punya



Harap dapatlah daripada VIP yang lain hihi..Anda pula bagaimana?

TENTANG DIRI: Sambung Belajar Selepas SPM (Bahagian 2)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Sambungan dari Bahagian 1.

Entri ini berkenaan pengalaman di Asasi Undang-undang selama 3 semester, secara khususnya berkenaan cerita-ceritaku melancong sepanjang berada di sana.



Sungai Petani terletak di Utara Semenanjung Malaysia (ceh dah macam duta pelancongan pulak dah). Kerana kedudukan tersebut maka saya mengambil kesempatan untuk bersiar-siar sekitar Utara Malaysia. Yelah bila lagi kan nak ke Utara kan, masa ni la kita boleh manfaatkannya alang-alang dah dekat.

Semester 1:

Tidak keluar jauh sangat. Lebih kepada menyesuaikan diri jauh di Utara Malaysia. Sekitar Bandar Sungai Petani. Boleh tahan besar juga bandar Sungai Petani. Ada anak Kedah kata Sungai Petani lebih maju daripada ibu negeri, Alor Setar.Tempat yang menjadi tumpuan siswa UiTM Kedah ketika di Bandar Sungai Petani iaitu, Central Square yang sederhana besar.  





Tanjung Dawai bukanlah asing bagi kami di sana. Spesialnya makanan laut. Lubuk Tupah tidak jauh dari UiTM. Anak sungai mengalir tenang terasa sejuk bila mandi. Jangan pergi sorang-sorang sebab sunyi.

Kawasan UiTM Merbok. Gunung Jerai kah?

Semester 2:

Langkawi menjadi pilihan. Langkawi menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara. Saya tidak lepaskan peluang ke pulau tersebut. Langkawi merupakan permata Kedah. Sebut sahaja Langkawi, semua orang tahu akan popularnya sebagai destinasi pelancongan. 

Bas ting tong atau bas berhenti henti menjadi pilihan pengangkutan kerana lalu di hadapan UiTM Kedah. Dari ditu, kami menuju ke Alor Setar, melalui Pekan Yan. Sepanjang ke Alor Setar, kiri kanan sawah padi hijau terbentang luas. Pemandangan seperti ini tidak ada di tempat lain selain kawasan Utara Semenanjung Malaysia. Dari Terminal Bas Shahab perdana Alor Setar, naik bas sambung-sambung ke Kangar. Kangar agak sunyi berbanding ibu negeri yang lain. Kat situ mall yang nampak hanyalah The Store, di mana kami menaiki teksi ke jeti Kuala Perlis. Sampai di Kuala Perlis waktu solat Jumaat. Haha segan gak la makan KFC kat situ kami ber-6.

Teruja dapat ke Langkawi tanpa ibu bapa. Sampai je jeti kat Langkawi, terasa seperti di luar negara dan bukan di Malaysia. Ini kerana Langkawi agak jauh daripada Tanah Besar Semenanjung dan tengah-tengah laut pulak tu (macam Jakun je..sebelum ni pernah ke Langkawi laaa).   

Langkawi Sky Bridge
3 hari 2 malam dan menginap di chalet di Pantai Cenang. Semalaman RM 120 dua katil queen size. Dari situ, dapat berjalan-jalan sepanjang pantai cenang. Underwater World pun di kawasan Pantai Cenang. 
Underwater World

Barangan yang paling dikehendaki di Langkawi tak lain dan tak bukan ialah COKLAT. Asal datang Langkawi je, mesti ada je yang mintak kirim coklat. Coklat Langkawi lebih murah dan pelbagai jenis dan bentuk.  
Dayang Bunting

Banyak pakej menawarkan Island Hopping. Antara tempat menariknya ialah Tasik Dayang Bunting.


Kesimpulannya, Langkawi memang pulau khusus untuk pelancongan.

Semester 3:
Padang Besar, Perlis. Yang ini saya ikut ajakan kawan kerana kawan nak cari jersi bola. Padang Besar memang terkenal dengan jersi bola murah-murah dan nampak seperti original.

Fokus. Bawak 3 anak dara orang ni
Duit elaun pun dah masuk, nak merasa la duit tu buat gi sempadan. Kami menyewa kereta, konvoi melalui lebuhraya Utara Selatan. Bila dah sampai penghujung lebuhraya, lebuhraya jadi kecil dan jalan raya biasa. 


Singgah kejap ke rumah roomate di Kangar, hantar dia sekali balik rumah dia. Kedah dan Perlis tiada bezanya dari segi geografi kerana sawah terbentang luas. Dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, tayar hadapan tiba-tiba pecah berhampiran susur keluar Alor Setar Selatan. Nasib baik lah kejadian berlaku berdekatan exit lebuhraya dan ada pengguna jalan raya yang perihatin menghulurkan bantuan. Dapat lah pengalaman nak tukar tayar dan tumpang kereta pengguna jalan raya yang lain ke kedai tayar berdekatan.
  
Padang Besar
Selain itu, semester 3 ini saya ke Bukit Merah Laketown Resort trip anjuran kelas. Join jela lagi seronok kalau pergi ramai ramai ni. Ini semester terakhir, mungkin ini kenangan terakhir sebelum masing-masing membawa haluan diri. Tempat ni takdelah jauh sangat, sebab kat Taiping yang bahagian utara Perak. Sebelum ke sana, saya siap pergi The Store Central Square beli seluar hawaii dan t-shirt smart. T-shirt tu saya sempat pakai sekali je lepas itu tak tahu hilang kemana.
Yang baju biru tu saya



Tuesday, August 26, 2014

TENTANG DIRI: Sambung Belajar Selepas SPM (Bahagian 1)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Selepas tamat SPM, masing- masing mulalah mencongak masa depan sendiri. Ada juga yang tidak tahu nak jadi apa selepas tamat sekolah tingkatan 5. Biasanya selepas tingkatan 5, ada beberapa pilihan kehidupan.

1) Bekerja. Sama ada bekerja sambilan sebelum menyambung belajar atau bekerja sebab dah tak mahu belajar lagi dah.
2) Diploma
3) Matrikulasi atau Asasi untuk program persediaan.


Saya tidak tahu apa mahu pilih selepas melihat keputusan SPM yang dirasakan tak layak nak belajar medik di luar negara. Atas nasihat abah yang dah lebih lama makan garam, saya pun mohon la program asasi Undang-undang 3 semester. Dapat di UiTM Sungai Petani. Masa mula-mula dapat surat tawaran, mak aii...jauh tu..Dari Batu Pahat Johor ke Sungai Petani Kedah tu...

UiTM Kedah
Pengalaman perjalanan ulang alik Batu Pahat-Sungai Petani memang menarik. Saya keseorangan ke Sungai Petani yang memakan masa 10-12 jam. Berani tak berani laa. nak buat macam mana.Kemudian, saya berkenalan dengan kawan-kawan baru yang juga berasal dari Batu Pahat, jadi tidaklah saya keseorangan balik Sungai Petani. Sepanjang perjalanan, dapatlah lihat tempat orang bila bas berhenti untuk mengambil atau menurunkan penumpang, tapi ni akan melambatkan perjalanan.

Saya keseorangan di UiTM sungai Petani. Tiada seorang pun kawan-kawan saya dapat sama macam saya. Saya belajar menyesuaikan diri, jauh dari kampung halaman dan sanak saudara. Dari situlah saya mula mengenali kawan-kawan baru dan pelbagai ragam manusia.

Sungai Petani terletak berdekatan dengan sempadan Seberang Prai
Kedah lain dari Johor. Di Kedah, sememangnya sinonim dengan negeri jelapang padi. Hijau saujana mata memandang. Rasa ketenangan dan kalaulah boleh, ingin ku undurkan masa haha..Makanan cukup murah berbanding Johor. Di sana, saya tidak takut nak berbelanja makanan. Air pun sampai 2 cawan. Mungkin ini disebabkan kos sara hidup yang rendah di sana.

Saya mampu untuk menyewa kereta jika ingin keluar berjalan-jalan. Beza di Shah Alam sekarang kerana saya tak pernah sewa kereta. Boleh dikatakan setiap kali keluar, mesti sewa kereta maklumlah kat Kedah kos sara hidup pun agak rendah dan tidak rasa duit cepat habis. Saya suka sebegini walaupun orang kata Kedah kurang membangun berbanding tempat-tempat lain.

Perjalanan hidup di Asasi Kedah penuh warna warni. Mula-mula masing-masing segan nak bertegur sapa walaupun sekelas. Maklumlah ini pertama kali hidup di Universiti. Bila tak kenal nama, panggil oooii je haha..
Pelajaran tidak lah sesukar Ijazah. Banyak masa lapang. Kawan saya ada yang lepas habis kelas je terus tidur sampai petang. Betapa indahnya ketika itu. Datang ke kelas, dah habis kelas balik kolej tidur atau keluar berjalan jalan.

Walau bagaimana pun, untuk meneruskan program Ijazah undang-undang tidaklah mudah. Majoriti kawan saya tidak dapat masuk program Ijazah Undang-Undang dan terpaksa memilih jurusan lain. Rasa sedih sangat kerana mereka tidak lagi bersama ku. Hidup kena diteruskan, mudah mudahan kami semua berjaya hendaknya.

Entri seterusnya berkenaan dengan aktiviti merayap atau makan angin ku sepanjang 3 semester di UiTM Kedah. Nantikan

Saturday, August 16, 2014

Ranking Bola Sepak Malaysia Ogos Jatuh Lagi


MALAYSIA menduduki tempat ke-155 dalam ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bulan ini, yang  menyaksikan skuad negara turun empat anak tangga berbanding Julai.

Kedudukan itu berikutan kekalahan skuad Harimau Malaya 1-4 kepada Tajikistan pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan Jumaat lepas.

Menurut senarai yang dikeluarkan Fida, pasukan Malaysia kendalian Dollah Salleh itu berkongsi tempat ke-155 bersama pasukan Puerto Rico.   

Malaysia berada di tangga ke-154 pada Januari, 150 (Februari), 141 (Mac), 142 (April), 145 (Mei), 153 (Jun) dan ke-151 dunia pada Julai.

Kedudukan terbaharu itu turut meletakkan skuad kebangsaan sebaris dengan beberapa pasukan seperti Guyana (153), Swaziland (158) serta St. Kitts and Nevis  pada ranking ke-159 dunia.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia turun dua anak tangga untuk berada di tangga kelima di belakang Filipina (128), Vietnam (139), Singapura (152) dan Indonesia (153).   

Di peringkat Asia, Malaysia juga menurun tiga anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-29 daripada 46 negara.

Juara Piala Dunia 2014, Jerman, pula mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,736 mata.

Finalis Piala Dunia 2014, Argentina dan Belanda turut mengekalkan kedudukan sebagai pasukan kedua dan ketiga terbaik apabila masing-masing mengutip 1,604 dan 1,507 mata.   


Kedudukan ranking Fifa itu melibatkan 209 negara. - Bernama

SPONSORED