Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Pernahkah anda menderma darah dan pernahkah anda terfikir mengapa banyak kempen atau rayuan untuk menderma darah?
Pusat Darah Negara dan tabung darah di hospital seluruh negara sering berdepan dengan stok darah yang kritikal. Pada masa tertentu, bekalan darah dikatakan tidak mencukupi kerana penderma darah kurang gagal menampung keperluan semasa.
Menderma darah adalah satu amalan sukarela yang terpuji dan
tidak ternilai sumbangannya. Keinginan untuk menderma darah perlu wujud dalam
diri setiap individu sebagai satu tanggungjawab membantu sesama manusia.
Islam menggalakkan amalan tolong-menolong, terutama dalam
soal yang penting ini. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat dua bermaksud:
“Dan bertolong-tolonglah kamu di atas kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu
bertolong-tolongan di atas dosa dan penindasan.”
Secara peribadi, saya pernah menderma darah sebanyak 2 kali. Yang pertama pada tahun 2009 di PLKN dan tahun lepas.
Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB. Darah
manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut
jenisnya. Kumpulan darah O boleh menerima darah daripada kumpulan
darah O saja. Bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima.
Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang
sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah. Begitulah uniknya darah.
Menderma darah bukan saja tidak membahayakan diri penderma,
bahkan dianggap satu amalan menjaga kesihatan. Sebelum bakal penderma darah
menderma darah, tahap kesihatannya perlu diperiksa terlebih dulu bagi
memastikan tidak ada kesan buruk terhadapnya selepas menderma darah.
Proses menderma darah amat mudah dan mengambil masa singkat. Kalau ramai orang nak menderma darah seperti dalam aktiviti kempen derma darah, kena lah tunggu giliran. Penderma darah tidak mengalami rasa sakit ‘keterlaluan’ sepanjang proses
menderma darah. Kalau perempuan pun boleh derma darah, kenapa lelaki perlu takut?
Setiap orang boleh menderma darah setiap tiga atau empat
bulan sekali untuk proses pendermaan cara biasa. Bagaimanapun, jika melalui
kaedah Aferesis, yakni proses mengeluarkan plasma dan platelet dan kemudian
mengembalikan semula sel darah merah kepada penderma dengan menggunakan mesin
khas, penderma boleh melakukan lebih kerap berbanding cara biasa.
Darah yang diderma boleh disimpan selama 42 hari dalam peti
dingin beku sebelum diberikan kepada golongan yang memerlukan.
Darah yang diderma dibahagi mengikut komponennya iaitu sel
darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate,
cryosupernatant, Faktor VIII dan IX - semuanya ada kegunaan tersendiri.
Sel darah merah digunakan untuk merawat pesakit talassemia,
leukemia, orang yang kehilangan darah (mangsa kemalangan, kebakaran,
pembedahan) dan kekurangan darah (anemia). Manakala produk darah seperti plasma
beku segar dan Faktor VIII serta IX untuk pesakit haemofilia.”
Menderma darah memberi kebaikan kepada orang lain. Antaranya:
1) Boleh menyelamatkan nyawa orang.
Bagi orang-orang yang berisiko tinggi kehilangan darah
seperti akibat kemalangan dan juga ibu yang melahirkan anak, darah yang
didermakan adalah sangat penting. Dalam keadaan kecemasan seperti itu, mereka
sangat memerlukan darah yang banyak dalam kadar yang segera. Sudah tentu pada
saat kecemasan itu, jika tiada bekalan darah yang didermakan, proses ini akan
menyulitkan lagi keadaan pesakit.
Setiap hari ada sahaja berita kemalangan jalan raya. Kemalangan yang tidak dilaporkan dalam berita semestinya jauh lebih banyak. Mereka menghadapi kehilangan banyak darah dan mereka memerlukan bantuan darah untuk menggantikan darah yang hilang.
2) Boleh membantu seseorang dengan penyakit yang berkaitan dengan darah.
Derma darah juga penting dalam membantu pesakit yang
menghidap penyakit yang berkaitan dengan darah. Antara penyakit yang berkaitan
dengan darah adalah hemofilia, anemia dan talasemia yang berkaitan dengn sel
darah merah. Manakala penyakit kegagalan sumsum tulang dan leukimia pula adalah
penyakit yang berkaitan dengan platlet.
Mereka ini sangat memerlukan darah bagi menjalani kehidupan
biasa seperti kita. Tanpa bekalan darah yang berterusan, maka perkara ini boleh
mengundang maut kepada pesakit. Justeru itu, darah yang diderma adalah sangat
penting.
Bekalan darah perlu ditambah sepanjang masa. Darah tidak terdapat di pasaraya yang mudah dibeli.
Satu unit darah (antara 300 hingga 450 mililiter) dapat
menyelamatkan nyawa mangsa demam denggi, kemalangan (yang kehilangan banyak
darah), ibu yang tumpah darah ketika bersalin, pesakit talassemia, anemia,
leukemia dan haemofilia, mangsa kebakaran serta bayi yang perlu menjalani
pertukaran darah.
Untuk penderma darah, apakah manfaat yang mereka perolehi?
1) Menderma darah akan mengurangkan paras zat besi di dalam
darah. Zat besi adalah oksidan yang akan meningkatkan radikal bebas di dalam
tubuh. Setiap kali anda menderma darah, anda akan mengeluarkan sebahagian
daripada zat besi dari badan. Ada kajian menunjukkan zat besi berlebihan akan
mempercepatkan pengoksidanan (oksidasi) kolesterol, satu proses yang dianggap
boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan akhirnya mengakibatkan penyakit
kardiovaskular (serangan jantung dan strok).
2. Pendermaan darah boleh merangsang badan menghasilkan lebih
banyak darah baru. Secara tidak langsung ia akan meningkatkan taraf kesihatan
penderma kerana sel darah baru mempunyai keupayaan membawa oksigen yang jauh
lebih baik berbanding sel lama.Ini menyebabkan ramai yang menderma darah akan
berasa lebih segar dan sihat selepas menderma darah.
3. Selain itu secara psikologi, penderma darah sebenarnya
berasa lebih tenang kerana mempunyai tahap kesihatan yang baik. Ujian darah
akan dilakukan ke atas semua penderma setiap kali mereka menderma darah;
walaupun mereka adalah penderma tetap. Ini adalah langkah untuk memastikan semua
darah diderma adalah selamat dan tidak mengandungi bahan yang boleh
membahayakan penerima.
4.Tidak perlu bimbang kemungkinan masalah kekurangan darah
kerana ia tidak akan berlaku. Setiap hari badan kita akan menghasilkan sel
darah baru bagi menggantikan sel yang mati akibat ´tua.
5.Isu keselamatan seperti kemungkinan mendapat penyakit
berjangkit juga tidak timbul kerana proses pengambilan darah adalah selamat dan
dilakukan dengan berhati-hati. Banyak langkah keselamatan diambil untuk
kebaikan anda dan bakal penerima darah. Semua peralatan seperti jarum baru,
bersih dan steril akan digunakan bagi setiap penderma dan jarum yang sudah
digunakan akan dibuang. Jadi tiada kemungkinan jarum ini terkena penderma lain.
No comments:
Post a Comment