Paparan

SPONSORED

Wednesday, August 17, 2011

Isu Fatwa Larangan Bacaan Al-Quran Guna Pembesar Suara Sebelum Subuh di Pulau Pinang:Lebih Pro daripada Cons

logo MAIPP


Salam Ramadan Al-Mubarak.


Hari ini malam Ramadan ke-17, maknanya dah lebih 2 minggu dah kita berpuasa di bulan yang mulia ini. Bulan Ramadan yang datang hanya sekali dalam setahun wajar diambil peluang untuk melipat gandakan amalan dan pahala. Semoga amal ibadat kita diterima Allah.


* * *

Baru-baru ini, kita semua dihidangkan dengan berita tentang tajuk entri ini, iaitu larangan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu subuh. Berita ini masih baru dan juga masih panas. Isu ini melibatkan agama kita dan pelbagai-bagai pendapat tentang isu ini. Ada yang MENYOKONG larangan ini dan ada yang MEMPERSOALKAN larangan ini yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

Namun begitu, dalam banyak-banyak suara yang didengar, saya mendengar lebih banyak yang MENYOKONG larangan ini. 

Fatwa larangan pembesar suara di Pulau Pinang yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kini menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk mufti Perlis, Juanda Jaya, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi kerana ia bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur cuba dipolitikkan Umno sebagai satu keputusan negeri Pulau Pinang.

Ini pula yang KONS. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin dipetik sebagai cuba menyalahkan kerajaan negeri Pulau Pinang atas tindakan Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tersebut dengan menyatakan “perkara itu berlaku kerana kerajaan yang memerintah negeri berkenaan adalah parti yang langsung tidak sensitif terhadap isu-isu agama Islam.”

Saya menulis bukan atas dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian. Kita sebagai rakyat biasa dapat memerhati dan analisis suara-suara ini.

Baiklah, saya tak mahu hanya sekadar omongan kosong sahaja kerana saya sedar siapalah saya nak berkata-kata, saya akan sertakan dengan keratan ataupun link ke sumber-sumber yang berkaitan. SAYA HANYA SEKADAR BERKONGSI, PENDAPAT DAN ULASAN AMATLAH DIALU-ALUKAN.

Isunya bukanlah larangan Azan. Jangan terkeliru.

*Ini sumber daripada Utusan:

Amalan Islam bakal tergadaiOleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my 
KUALA LUMPUR 15 Ogos - Satu demi satu amalan agama dan tradisi umat Melayu Islam di negara ini bakal tergadai sekiranya tiada pihak mahu mempertahankannya semata-mata kerana mengejar kepentingan politik pihak tertentu.  
Dalam isu terbaru berkenaan larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara yang disokong oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perkara itu jelas membuktikan undi rakyat adalah lebih penting daripada mempertahankan akidah Islam.
Justeru katanya, adalah lebih baik pemimpin Pas menukar slogan perjuangan mereka kepada 'Berjuang Demi Undi' yang memberi maksud 'Aku mesti menang walaupun Islam kalah'. 
''Nampaknya hujan sudah naik ke langit. Agaknya Menteri Besar Kelantan dan pemimpin Pas lain tidak lagi berhasrat menggunakan pembesar suara apabila memberi tazkirah atau program qiyamullail di masjid atau surau walaupun jumlah jemaah ramai," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini. 
Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bermesyuarat 7 April lalu memutuskan, membaca al-Quran dengan pembesar suara di masjid dan surau adalah dilarang mengikut hukum syarak. 
Dalam pada itu, Presiden Ikatan Muslim Malaysia, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, jabatan agama Islam negeri perlu membuat penelitian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang fatwa. 
Katanya, selagi tidak mendapat bantahan besar masyarakat termasuk penduduk bukan Islam, amalan Islam harus diteruskan. 
''Kita perlu teliti apakah sebab-sebab yang mendorong larangan itu dibuat, adakah sebab itu merupakan sebab hakiki atau tidak mahu Islam lebih tinggi atau terdapat sebab lain? Ulama tidak boleh mengeluarkan fatwa hanya kerana berdasarkan andaian," katanya.









Sudahkah membaca apa yang saya ambil sumbernya dari Utusan? Anda boleh menilai sendiri tanpa dipengaruhi oleh cakap-cakap yang boleh mempengaruhi minda. 


Ini pula berkenaan yang MENYOKONG larangan bacaan Al-Quran guna pembesar suara sebelum waktu Subuh. Pelbagai pihak menyokong,  termasuk mufti Perlis, Juanda Jaya, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi.


*Ini pula kenyataan daripada bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Sumner ini diperolehi melalui blog beliau http://drmaza.com/home/?p=1546



SAYA MENYOKONG KEPUTUSAN S.S MUFTI PULAU PINANGProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Saya amat bersetuju dengan keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat. Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak. Seperti yang lepas, saya berpegang kepada alasan-alasan berikut menyokong keputusan berkenaan;

1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.
2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.
3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.
4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:
“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.
Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:
“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini..boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin:http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).
Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.
5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:
“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?
Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya.

Dah baca penjelasan daripada Dr Asri? Jika belum silakan membaca. Saya mengambil sumber-sumber kerana saya TIDAK MAMPU memberikan kenyataan, nanti dianggap kenyataan saya ini berat sebelah.





No comments:

Post a Comment

SPONSORED