SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim bakal mengumumkan tarikh pemberhentian catuan air di seluruh
Selangor dalam masa terdekat.
Menurutnya, keputusan bakal diambil secepat mungkin ekoran
kenaikan paras air di empangan.
“Kenaikan air di empangan mula meningkat. Saya akan
mengadakan perjumpaan sama ada Jumaat ini atau Isnin depan untuk menetapkan
tarikh pemberhentian catuan air. Lagi cepat lagi baik,” katanya ketika ditemui
pemberita di lobi Dewan Annexe, hari ini.
Abdul Khalid berkata laporan peningkatan air itu diterima
daripada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan akan dipantau dari semasa ke
semasa.
“Laporan itu dari Luas. Saya akan memantau dari sehari ke
sehari,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri menegaskan tidak akan berganjak
daripada meneruskan pelan catuan air berjadual di beberapa kawasan selagi
keadaan paras air di empangan masih belum memuaskan.
Menurut Abdul Khalid, keputusan tidak akan diubah sehingga
musim hujan dan peratus takungan air di empangan melebihi 65 hingga 70 peratus.
Pelan catuan yang bermula sejak 2 Mac lalu melibatkan enam
daerah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor
dan Hulu Selangor.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment