Paparan

SPONSORED

Friday, May 31, 2013

Poco-poco

Salam Jumaat.


Poco-poco mencetuskan fenomena, seperti juga Oppa Gangnam Style. Setiap kali ada aktiviti riadah mahupun rekreasi berkumpulan, pastinya tarian poco-poco turut ada selain daripada Aerobik dan J-Robik. 

Lagu Poco-poco dicipta oleh Arie Sapulette, kelahiran Ambon Indonesia. Beliau menciptanya lagu itu setelah mendapat inspirasi daripada seorang gadis gempal yang lincah menari di suatu pesta. Dek kerana terlalu seronok melihat kelincahan gadis gempal tersebut menari hingga terkeluar perkataan poco-poco dari mulutnya.

Setelah Arie berpindah ke Jakarta tahun 1995, lagunya telah dinyanyikan oleh penyanyi terkenal di Indonesia, Yopie Latul dan bermula dari situ rentak tari poco-poco semakin popular di Indonesia hinggalah menular ke seluruh nusantara. Tarian poco-poco dianggap sebagai satu medium senaman yang boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia mahupun status, daripada majlis korporat hinggalah ke sekolah dan padang-padang senaman.

Keseluruhan lagu itu juga membawa maksud tubuh yang sihat, badan yang tegap dan dilagukan dengan iringan tari yang mudah serta menghiburkan. Gerak tariannya umpama senaman aerobik, membuatkan badan berpeluh dan berasa lebih sihat. Jurulatih senaman bertauliah, Adila Idris berkata dua langkah ke kanan, dua langkah ke kiri, satu langkah ke belakang, kemudian ke depan dan ke belakang Begitu seterusnya gerakan itu diulang-ulang.




Namun begitu, tarian poco-poco mencetuskan kontroversi apabila ia telah diputuskan sebagai haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari 2011. Bagaimanapun beberapa negeri lain masih belum membuat belum membuat keputusan dan sedang membuat kajian lanjut.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan berkenaan hukum tarian poco-poco:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Tarian Poco-poco Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa berdasarkan dapatan daripada kajian awal yang dikemukakan, fakta yang menunjukkan bahawa tarian poco-poco yang dipraktikkan di Malaysia mempunyai kaitan secara langsung dengan ritual penganut agama Kristian masih belum dapat dibuktikan sepenuhnya dan kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan bagi memastikan fakta sebenar asal usul tarian tersebut. Walaupun demikian, Muzakarah mengambil perhatian dan menghormati keputusan pengharaman tarian poco-poco yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Sehubungan itu, bagi memastikan apa jua bentuk tarian sama ada poco-poco atau sebagainya tidak bertentangan dengan ajaran Islam, Muzakarah memutuskan supaya sebarang bentuk tarian yang dilakukan hendaklah merujuk Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang telah diputuskan sejak tahun 2007 seperti berikut, antaranya:
a) Berpakaian menutup aurat, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam;

b) Gerak tari yang disembahkan tidak menimbulkan fitnah;

c) Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah;

d) Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan agama bukan Islam; dan

e) Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.”


No comments:

Post a Comment

SPONSORED