Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengeluarkan panduan
penggunaan pendingin hawa secara bijak semasa cuaca panas dan kering melanda
negara bagi pengurusan elektrik yang baik.
TNB dalam satu kenyataan berkata antara langkah yang boleh
diamalkan ialah dengan menyelaraskan suhu sistem penghawa dingin di antara 23
hingga 25 darjah selsius serta kerap menukar atau membersihkan penapis
pendingin hawa.
Ia turut menyarankan pengguna agar menutup semua pintu dan
tingkap serta lubang udara bagi memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik
selain mencadangkan untuk membuka kipas dan menetapkan masa pendingin hawa
untuk ditutup pada waktu malam.
Dalam kenyataan itu, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat
dan Komunikasi TNB Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata pendingin hawa
mewakili sebahagian besar penggunaan elektrik sebilangan pengguna TNB.
Turut disarankan ialah penggantian pendingin hawa yang
berusia lebih 10 tahun dengan yang baharu kerana pada tempoh berkenaan unit itu
tidak lagi efisien untuk digunakan.
Turut disertakan ialah tip membeli pendingin hawa baharu
iaitu memilih unit yang mempunyai bintang kecekapan tenaga yang paling tinggi
kerana peralatan itu lebih cekap berfungsi.
"Pilih saiz dan jenis yang tepat bagi menepati kehendak
yang diperlukan. Penghawa dingin yang besar bukan sahaja lebih mahal malah
menyebabkan bil elektrik lebih tinggi kerana alat pemampatnya perlu berputar
dan berhenti secara berulang," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment