Paparan

SPONSORED

Wednesday, August 19, 2015

AGAMA: Ibadah Umrah



Rukun Umrah
Rukun umrah terbahagi kepada 5 iaitu:

  1. Niat
  2. Tawaf
  3. Saie
  4. Bercukur atau bergunting
  5. Tertib


Huraian terperinci bagi setiap rukun adalah seperti dibawah.


1. Niat

Setiap ibadah hendaklah dimulai dengan niat. Jika seseorang itu tidak berniat sama ada sengaja atau terlupa umrahnya menjadi tidak sah. Berniat umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Berikut ialah lafaz niat umrah:

نويت العمرة وأحرمت بها لله تعالى

Ertinya : “Sahaja aku berniat umrah dan berihram aku untuk melaksanakannya kerana Allah Ta’ala.”


2. Tawaf

Tawaf adalah salah satu rukun yang sangat penting dalam ibadat umrah. Sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut syarat-syaratnya, ia menjadi tidak sah dan justeru itu Sai’e, iaitu rukun yang berikutnya juga akan menjadi tidak sah.

Syarat- syarat sah tawaf

– Berniat mengelilingi Ka’abah semata-mata untuk menunaikan tawaf kerana Allah S.W.T.

Lafaz niat Tawaf Umrah:

Ertinya: “Aku berniat Tawaf Umrah di Ka’abah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala.”

Tawaf hendaklah dilakukan di luar Ka’abah tetapi di dalam Masjidil Haram. Tawaf boleh dilakukan di bahagian atas Masjidil Haram tetapi mesti dipastikan bahu sentiasa mengiringi Ka’abah.

Tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Ka’abah termasuk Syazarwan (bingkai Ka’abah) semasa tawaf.
Tidak boleh menggunakan laluan di bawah pancur emas antara Hijr Ismail dengan Ka’abah (kerana Hijr Ismail juga dikira sebahagian daripada Ka’abah).

Laluan tawaf hendaklah bersih daripada najis.
Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hijr al-aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama.

Tawaf hendaklah dilakukan sebanyak tujuh kali pusingan dengan sempurna dan yakin.

Mesti mengirikan Ka’abah sepanjang masa tawaf. Beri perhatian khusus apabila tiba di penjuru-penjuru Ka’abah.

Mesti suci daripada hadas kecil (yakni berwuduk).

Mesti suci daripada hadas besar.

Badan dan pakaian mesti suci daripada najis.( mendukung anak lelaki yang belum berkhatan adalah diaggap membawa najis yang menyebabkan tawaf menjadi tidak sah).

Mesti menutup aurat.


3. Sai’e

Sai’e adalah juga satu rukun yang penting dan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Walaupun begitu sahnya Sai’e bergantung kepada sahnya tawaf. Jika kerana sesuatu sebab, tawaf tidak sah maka Sai’e yang walaupun dibuat dengan sempurna akan turut menjadi tidak sah.

Syarat-syarat sah Sai’e:
1. Hendaklah dilakukan selepas melakukan Tawaf
2. Mulai daripada Bukit Safa dan disudahi di Bukit Marwah
3. Cukup tujuh kali dengan yakin, iaitu dikira dari Safa ke Marwah     sekali dan dari Marwah ke Safa sekali
4. Hendaklah saie sehingga sampai ke penghujung tempat saie di         Bukit Safa dan Bukit Marwah pada tiap-tiap kali.
5. Hendaklah saie di tempat yang ditentukan sekarang.
6. Mengekalkan niat untuk bersaie sepanjang masa melakukan saie     itu.

Sunat-sunat Sai'e:
1. Keluar ke tempat saie melalui Pintu Safa.
2. Menaiki Bukit Safa dan Marwah hingga sampai ke batu-batu           bukit.
3. Mengadap ke arah kiblat dan mengangkat kedua-dua belah               tangan sambil mengucapkan: ( AllahuAkhbar3x Walillaulhamd)     setiap kali berada di atas Bukit Safa dan Marwah.
4. Berlari-lari anak bagi lelaki (tidak bagi wanita) apabila sampai di     suatu tempat yang bertanda lampu hijau.
5. Berturut-berturut (muwalat) antara pusingan saie.
6. Suci daripada hadas besar dan kecil serta menutup aurat.
7. Berjalan kecuali uzur. Maka boleh menggunakan kenderaan             seperti kerusi roda.
8. Berdoa
9. Berittiba‘(m
emakai pakaian ihram dalam keadaan membuka             bahu sebelah kanan bagi lelaki sepanjang tawaf).

Tahallul

Bertahallul maknanya melepaskan diri dari larangan ihram menurut cara yang ditetapkan untuk umrah. Bagi umrah seseorang itu boleh bertahallul setelah selesai melaksanakan dengan sempurna semua kerja-kerja rukun yang lain iaitu niat, tawaf dan Sai’e.

Syarat Tahallul

Menggunakan sekurang-kurangnya tiga helai rambut (bukan bulu) dengan cara bergunting atau dengan cara–cara lain. Tetapi adalah afdhal bagi lelaki mencukur kepalanya. Bagi orang yang kepalanya tidak berambut memadai jika dilalukan pisau di atas kepalanya.

Perkara-perkara yang berkaitan dengan jemaah wanita:
Perempuan yang berambut panjang boleh memotong mana-mana bahagian rambutnya untuk tahallul asalkan tidak kurang dari tiga helai.
Suami boleh menggunting rambut isterinya sebelum menggunting rambutnya sendiri selepas kedua-duanya selesai Sai’e umrah. Tetapi sebaik-baiknya suami menggunting rambutnya dulu.
Perempuan haid boleh bertahallul dan rambut yang dipotong dimasukkan saja ke dalam bekas yang disediakan.


Tertib

Para jemaah hendaklah melaksanakan segala Rukun Umrah satu persatu, mengikut tertibnya (aturan).


Wajib Umrah
Wajib Umrah ialah perkara-perkara yang mesti dilaksanakan oleh jemaah umrah, sekiranya ditinggalkan, ibadah umrah tersebut masih sah tetapi dikenakan bayaran Dam. Pengabaian terhadap perkara-perkara Wajib Umrah dengan sengaja adalah berdosa dan dikenakan Dam. Jika ditinggalkan dalam keadaan tidak sengaja, hukumnya tidak berdosa tetapi masih dikenakan Dam.

Berikut ialah perkara-perkara Wajib Umrah:
1. Berniat umrah di Miqat (sempadan) yang ditetapkan ataupun sebelumnya.
2. Menjaga larangan ihram.
3. Miqat Makani (sempadan tempat) adalah tempat yang ditetapkan     bagi seseorang yang hendak mengerjakan umrah melafazkan           niatnya. Niat boleh dilafazkan pada mana-mana tempat sebelum       sampai ke Miqat ini. Tetapi jika sudah melampaui Miqat ini, niat     umrah masih boleh dilafazkan tetapi Dam berupa seekor                   kambing dikenakan.


Amalan-amalan Semasa di Tanah Suci:
1. Solat berjamaah
2. Solat jenazah
3. Solat sunat
4. Puasa sunat
5. Khatam al-Quran
6. Memandang Baitullah
7. Berdoa terutamanya di tempat-tempat yang mustajab doanya
8. Beriktikaf dalam masjid


miqat (tempat berniat ihram)







Miqat bagi jemaah umrah dari Asia Tenggara (dengan kapal terbang):

Qarnul Manaazil – Lebih kurang 94km dari Makkah atau lebih kurang setengah jam perjalanan sebelum kapal terbang mendarat di Jeddah. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Makkah setelah mendarat di Jeddah.

Bir Ali (disebut juga sebagai Zulhulaifah) – Lebih kurang 10km dari Bandar Madinah atau lebih kurang 450 km dari Makkah. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Madinah dan dari sana berniat ihram sebelum bergerak menuju Mekah. Ia juga menjadi Miqat untuk penduduk bandar Madinah itu sendiri.

Lain-lain miqat (dengan kapal terbang) ialah:

Al-Juhfah – Lebih kurang 187km dari Makkah . Ia menjadi miqat untuk penduduk Syam (Syria), Mesir dan negara-negara lain dari arah yang sama.

Zaatu ‘irqin – Lebih kurang 94 km dari Makkah. Miqat bagi penduduk Iraq.

No comments:

Post a Comment

SPONSORED